Ride Solo Jelajah Perak Sempena #TahunMelawatPerak2017.
Ibu Negeri = Ipoh
Bandar DiRaja = Kuala Kangsar
Keluasan = 21006 Km/p
Penduduk = 2.7 juta
4,5,6 April 2017
3 hari 2 malam
Hari Pertama
Tanjong Malim - Gerik
4 April 2017
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Aku memulakan perjalanan Jelajah Perak sempena Tahun Melawat Perak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong malim. Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan universiti pendidikan pertama di Malaysia telah diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997. Sebelum ini UPSI dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris. Maktab perguruan pertama di Malaysia dibuka pada tahun 1913 di Taiping bawah nama Maktab Perguruan Matang. Maktab ini menggunakan bangunan rumah Ngah Ibrahim sebelum berpindah secara tetap ke Tanjung Malim dan diberikan nama baru sempena nama Sultan Perak pada masa itu. UPSI dulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (Sultan Idris Training College atau SITC) di Tanjung Malim.
Untuk hari pertama perjalanan, aku bajet akan bermalam di Gerik.
Selepas singgah mengisi petrol di Slim River aku terus bergerak ke Sungkai, Bidor Tapah dan Temoh.
Di Sungkai terdapat sebuah kedai makan di tepi jalan besar yang popular iaitu kedai makan "nasi buluh" yang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada hari sabtu,ahad dan cuti umum. Di Sungkai juga terdapat sebuah kolam air panas yang popular dan menjadi tumpuan orang ramai dimusim cuti penggal persekolahan dan dihujung minggu.
Di Bidor pula popular dengan jambu batu dan petainya manakala Tapah adalah lokasi persinggahan terakhir dan laluan utama untuk pelancong dari arah selatan menuju ke Cameron Highland.
Dari Tapah aku meneruskan perjalanan melalui Temoh - Kampar Gopeng dan Kellies castle di Batu Gajah. Di Kampar tiada apa yang menarik bagi pelancong namun di sini terletaknya Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang mula dibuka pada tahun 2002.
Di Gopeng pula terkenal dengan Ladang Herba,Gua Tempurung dan buah buahan tempatan terutamanya durian. Aku tidak singgah di Gua Tempurung kerana ia agak jauh dari jalan besar dan hari ini adalah hari biasa yang pasti kurang pengunjung yang datang berkunjung. Aku terus menuju Kellies Castle di Batu Gajah dan singgah bergambar.
Istana Kellie telah dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka British bernama William Kellie Smith. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. Pekerja binaan bangunan tersebut dibawa khas dari Madras India. William Kellie Smith berasal dari sebuah kampung di Scotland yang dikenali sebagai Kellas. Pada tahun 1890, ketika berusia 20 tahun, Smith tiba di Tanah Melayu. Dalam perancangannya bangunan ini akan mempunyai 14 buah bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia, ia juga akan dilengkapi dengan lif yang pertama dibawa masuk dan diguna Tanah Melayu. Di tingkat kedua pula Smith merancang untuk membina sebuah gelanggang tenis berlantaikan simen. Bagaimanapun bangunan ini tidak sempat disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia di Pelabuhan Lisbon, Portugal ketika mahu mengambil lif yang ditempah pada 11 Disember 1926. Bangunan yang "tidak siap" ini kekal dalam keadaan sedang dibina sehingga hari ini. Kellies Castle pada satu ketika dahulu adalah satu tempat yang agak menyeramkan kerana terbiar dan jarang jarang dikunjungi dan pernah menjadi tempat kaki kaki ekor "memuja" untuk mendapat nombor.
Dari Kellies Castle aku meneruskan perjalanan ke Ipoh Ibu Negeri Perak. Bandar Ipoh tidak banyak berubah hampir sama seperti 30 tahun lepas. Pada mulanya aku bercadang untuk pekena "nasi ganja" Ipoh tapi kerana pelanggan yang terlampau ramai (anggaran 30 org) sedang beratur aku melupakan hasrat untuk menikmati hidangan popular di Ipoh dan terus ronda ronda di Ipoh. Ipoh adalah bandar utama aku ketika di usia remaja. Pernah beberapa bulan menjadi pembantu kepada "anak buah" yang berniaga burger pada awal tahun 80an. Semasa aku bekerja di Ipoh pada tahun 1982 dengan sebuah syarikat courier antarabangsa yang terkenal ketika itu aku telah membeli sebuah motosikal pertama aku jenis Suzuki Trs 118cc dengan meminjam duit dari kakak aku.
Jalan2 lagi singgah pula di Taman Dr. Senivasagam. Di taman ini banyak juga kenanganya. Selalu menyertai pertandingan bolasepak 7 sebelah bawah umur 18 tahun bersama rakan rakan sekolah(SYS) Batu Gajah. Mula belajar bercintan cintun pun di sini juga hahaha.
Aku terus merayap lagi ke stesen ketapi Ipoh yang juga banyak meninggalkan kenangan suatu ketika dahulu. Setiap kali selepas menonton perlawanan bolasepak piala Malaysia atau konsert rock kapak kami akan melepak disini untuk menjamu selera di gerai gerai yang banyak terdapat disini. (Sekarang gerai2 itu tiada lagi)
Malam minggu juga menjadi tempat tumpuan bagi mat mat rempit melepak disini. Di Ipoh Tiger Lane,jln Tasek dan Jln Chamberlane adalah antara jalan tumpuan bagi mat rempit beraksi pada setiap malam minggu.
Selepas stesen ketapi aku bergerak kesatu lokasi pelancongan yang agak baru di Ipoh iaitu Gunung Lang yang terletak lebih kurang 2 kilometer dari pusat bandar Ipoh melalui jalan lama Kuala Kangsar. Disini aku singgah berehat dan menjamu selera dengan 2 biji roti gardenia dan air mineral. Selesai makan dan berehat aku bergerak ke Kuala Kangsar melalui Chemor dan Sungai Siput. Dikedua dua tempat ini sudah banyak berubah. Kalu dulu kiri kanan jalan dipenuhi pokok getah/kelapa sawit tapi kini sudah dipenuhi dengan kawasan perumahan dan kilang2. Jalan raya juga sudah ok dan memuaskan, 2 lane sehala.
Sampai Kuala Kangsar aku terus ke Bkt Chandan melawat Masjaid lama Ubudiah dan istana lama disini.
Masjid Ubudiah, yang juga dikenali sebagai Masjid Diraja Ubudiah ialah sebuah masjid yang terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, ia dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia. Masjid Ubudiah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.
Pembinaan Masjid Ubudiah bermula dari zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28.
Muzium DiRaja Kuala Kangsar (dahulunya dikenali dengan nama-nama seperti Istana Kenangan, Istana Lembah atau Istana Tepas) telah didirikan pada tahun 1926, oleh seorang tukang kayu yang bernama Haji Sopian dan dibantu oleh dua orang anaknya.
Muzium Diraja Kuala Kangsar dibina atas perintah Almarhum Sultan Iskandar Shah
sebagai tempat Baginda bersemayam sementara, disebabkan Istana Iskandariah ketika itu masih lagi di dalam pembinaan menggantikan Istana Negara.
Almarhum Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan ini mulai dari tahun 1931 hingga tahun 1933. Setelah Baginda berpindah ke Istana Iskandariah.
Kuala Kangsar juga popular dengan laksa beras kuale nya jadi aku tidak melepaskan peluang untuk mencuba semangkok laksa dan abc di Dataran Lembah Kuale. Not bad..Aku bagi 4 ha..
Selepas Kuala perjalanan yang dirancang seterus nya adalah Gerik. Selepas sahaja merefill petrol di Kuala hujan mula turun. Kerana tidak mahu menunggu dan membuang masa aku terus menyarung baju hujan dan meneruskan perjalanan ke Gerik. Laluan ke Gerik sudah banyak berubah, selesa dan lurus boleh memecut sehingga 120 kmj. Sepanjang perjalanan bayak rumah rumah dan perkampungan di kiri dan kanan jalan dan keadaan ini mengurangkan perasaan risau yang aku sangkakan sebelum ini iaitu laluan ke Gerik sangat sunyi dan jauh ke pendalaman.
Sampai di Gerik masih renyai renyai dan aku terus menghubungi rakan sekampong yang sudah lama tidak berjumpa yang kini menetap di felda Bersia utk mendapat info tempat bermalam dan tidor di Gerik hari ini. Beliau mencadangkan aku menginap di hotel tempat beliau bekerja. Senang citer!
Aku bemalam di Gerik hari ini.
Hari ke 2
Gerik - Lumut
5 April 2017
6.00 pagi:
Bangun dan kemas kemas barang untuk meneruskan perjalanan pada hari kedua jelajah Perak. Sebelum bergerak sempat bersembang dengan orang kampong yang sudah berpuluh tahun tidak berjumpa dan sempat juga mengimbau semula kesah kesah lama di zaman remaja. Kerana masih awal pagi aku tidak bersarapan di Gerik tapi bercadang utk sarapan di Lenggong yang jaraknya lebih kurang 50 km dari Gerik. Dalam perjalanan ke Lenggong laluanya di penuhi kabus lembab yang menyebabkan visor helmet dan pakaian aku merasa lembab. Berkabus sepanjang perjalanan dari Gerik ke Lenggong. Di Lenggong aku singgah disebuah warung yang di jaga oleh dua orang pakcik yang berumur dalam lingkungan 70an. Mungkin perasan aku orang luar pakcik tersebut mencadangkan kepada aku untuk mencuba nasi lemak goreng. Aku bersetuju kerana ini kali pertama aku dengar menu nasi lemak goreng disamping ingin mencuba rasanya. Aku oder secawan kopi 0 kurang manis dan nasi lemak goreng kurang pedas. Boleh tahan juga rasa nasi lemak goreng kerana digoreng bersama telur dan sayur. Boleh makan lagi jika datang Lenggong.. Aku bagi 3 ha.
Lenggong merupakan tapak arkeologikal di mana wujudnya bukti-bukti penempatan manusia semenjak zaman Paleolitik telah ditemui. Penemuan arkeologikal paling terkenal di Lenggong adalah Orang Perak (Perak Man), rangka peninggalan berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1990. Rangka tersebut merupakan seorang lelaki dengan ketinggian kira-kira 157 cm, yang berumur sekitar 50-an.
Peralatan batu berusia 100,000 tahun juga telah ditemui berhampiran Kampung Geluk dan Kampung Temelong.
Terdapat juga Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan di mana artifak yang digali dari kawasan sekitar dipamerkan.
Pada 2 Julai 2012, UNESCO telah mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai salah satu dari Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Aku meneruskan perjalanan dengan target untuk sampai ke Taiping sebelum tengahari. Dalam perjalanan dari Lenggong aku sempat singgah membeli pekasam satu produk popular di Lenggong. Aku menggunakan laluan jalan pintas yang tembus ke Padang Rengas tanpa melalui Kuala Kangsar. Laluan di sini ok dan agak sejuk juga kerana masih banyak pokok pokok besar dikiri kanan dan ia berhampiran dengan pergunungan dan tak banyak kenderaan menggunakannya. Berhampiran Kpg Laneh terdapat satu kawasan tanaman padi. Laluan pintas ini terletak di bahagian belakang kilang Simen YTL yang dahulunya dimiliki kerajaan Perak yang Jv dgn Syarikat dari Korea Selatan dengan menggunakan nama Perak - Hanjoong Simen(aku masih ingat sejarah kilang simen ini kerana kerap juga masuk kesini ketika ia masih dalam pembinaan dahulu). Sampai di Padang Rengas aku singgah di Petronas untuk memberi "minum" motor kapchai aku. Dari Padang rengas ke Taiping aku melalui Bkt Gantang yang popular dengan buah buahan tempatan terutama durian tapi ketika ini belum musim buah. Laluan seterusnya adalah melalui Changkat Jering dan Air Kuning sebelum sampai Taiping. Di Taiping aku terus menuju Taman Tasik Taiping yang merupakan lokasi paling popular di Taiping. Di sinilah terletaknya Zoo Taping dan kaki Bukit Larut. Terdapat juga sebuah sungai yang dikenali sebagai "Burmese Pool" yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi manda bersama keluarga.
Penjara Taiping juga terletak berhampiran Taman Tasik ini. (Taman Tasik adalah port aku ketika berulang alik setiap hari dari Ipoh - Taiping semasaa bekerja dengan sebuah Syarikat courier).
Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama asal Taiping ialah Klian Pauh. Taiping bermaksud "Keamanan yang abadi" dalam bahasa Cina.
Dua Pertubuhan kongsi gelap terkenal satu ketika dahulu iaitu Gee Hin dan Hai San turut berpusat di Taiping kerana berebut kawasan untuk menguasai lombong bijih timah dan jalan air.
Pada 1880-an ibu negeri Perak dipindah dari Bandar Baru ke bandar Taiping setelah J.W.W. Birch dibunuh oleh Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak pada tahun 1875.
Pada 1937 Ibu Negeri Perak telah berpindah ke Ipoh dari Taiping. Ipoh dipilih sebagai ibu negeri Perak kerana ia terletak di tengah-tengah negeri Perak.
Setelah berehat dan minum secawan nes 0 kurang manis di sini aku meneruskan perjalanan menuju Batu Kurau yg terletak lebih kurang 40 km dari Taiping.
Batu Kurau adalah sebuah pekan kecil yang majority penduduknya terdiri daripada orang melayu. Di sini juga popular dengan buah durian yang sedap dan disukai oleh penggemar buah durian dari seluruh negara. Dari Batu Kurau aku meneruskan perjalanan menuju Pekan Selama sebuah pekan yang berhampiran dengan sempadan negeri Kedah. Laluan disini merupakan laluan didalam hutan dan ladang kelapa sawit yang luas. Dalam perjalanan terserempak dengan beberapa kumpulan monyet yang sedang lepak santai sambil terlompat lompat ditepi jalan menanti makanan yang diberi oleh pengguna laluan ini. Sebelum sampai Selama ada sebuah pekan kecil bernama Kubu Gajah. Aku singgah di Selama untuk menikmati makan tengahari disebuah gerai dimedan selera pekan Selama.setelah berehat seketika aku meneruskan perjalanan menuju ke Bagan Serai yang melalui semula pekan kecil Kubu Gajah. Jarak dari Selama ke Bagan Serai lebih kirang 35 kilometer. Aku tidak singgah di Bagan Serai dan meneruskan perjalanan ke Parit Buntar. (Aku kerap datang kesini ketika bekerja dengan sebuah Syarikat courier satu ketika dahulu). Singgah sebentar di Masjid Daerah Kerian Parit Buntar.
Dari P. Buntar aku menuju Kuala Kurau satu kawasan pendaratan nelayan laut.
Dari Kuala Kuara aku menghala ke Kuala Gula satu tempat yang popular dengan makanan masakan ketam lembut (ketam tanpa kulit). Kerana masih awal restoran terapong yang menyediakan makanan ketam lembut masih belum dibuka. Terdapat juga beberapa kawasan chalet disini untuk kemudahan pengunjung yang ingin bermalam disini.
Tayar terus bergolek untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Lumut. Melalui Simpang Ampat, Simpang Taiping dan Changkat Jering aku terus masuk laluan ke Trong - Lumut . Laluan baru ini tidak melalui Beruas dan jalanya cantik tidak banyak selekoh. Boleh dapat top speed 120 kmj. (Kira laju lah bg sebuah motor kapcai).
Disini juga dikelilingi ladang ladang kelapa sawit yang luas.
Didalam perjalanan ini aku ternampak sebuah kampong yang diberi nama Temerloh tapi bukan Temerloh di Pahang yang popular dengan Patin masak lomak tempoyak.
Lebih kurang 25 minit menunggang aku sampai di Pantai Remis. Di sini aku berpusing pusing dilorong lorong belakang kedai pekan Pantai Remis untuk mencari pantai tapi nasib tidak baik tak jumpa pantai walaupun namanya Pantai Remis.
Dari Pantai Remis bergerak lagi ke Teluk Senangin satu kawasan perkelahan tepi pantai yang semakin popular di Perak khasnya tapi masih kurang diberi perhatian dari pehak berkaitan. Kurang penyelenggaraan,lebih kurang sama keadaan nya ketika pertama kali aku datang kesini sekitar tahun 2004. Singgah sebentar sahaja untuk mengambil gambar sebagai kenangan sebelum meneruskan perjalanan ke Lumut lokasi yang dirancang untuk bermalam hari ini. Dalam perjalanan ke Lumut aku melalui Pelabuhan Lumut dan ronda ronda disitu untuk mencuba nasib kot kot dapat bergambar di tepi kapal kapal yang berlabuh disitu tapi gagal kerana tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan "Lumut Port" .
Sampai di Lumut terus cari port untuk bermalam disini.
Meriah juga waktu malam di Dataran Lumut ramai peniaga kecil berniaga dan ramai juga pengunjung yang datang walaupun bukan dihujung minggu. Seperti dimana mana pekan dinegara kita masakan Thai medominasi kedai makan di pekan Lumut. Malam ini aku oder daging masak merah,telur dadar,sup ekor,nasi putih dan teh 0 kurang manis.
Aku bagi 3 ha..
Bermalam disini.
Hari ke 3= Lumut - Tanjong Malim
6 April 2017
Selepas siap berkemas dan chek out dari hotel penginapan aku terus memulakan perjalanan terakhir hari ini untuk melengkapkan Jelajah Perak sempena Tahun Melawat Perak 2017. Target tamat jelajah sekitar pukul 3 ptg. Dari Lumut aku menghala destinasi pertama perhentian hari ini untuk menikmati sarapan mee kari di Batu Gajah. Dalam perjalan aku melalui beberapa buah pekan seperti Setiawan,Air Tawar, Bota, Seri Iskandar dan Tronoh. Aku singgah sebentar di Changkat Chermin dimana ada seorang kawan dizaman persekolahan di SMR & SYS Bt Gajah iaitu Hj Ibrahim yang berasal dari sana tapi masih bekerja di Kuala Lumpur. Beliau sedang dalam proses membina rumah untuk persediaan apabila pencen nanti. Hj Ibrahim turut memberi sokongan dan dorongan kpd aku dalam program jelajah Perak ini.
Selepas bergerak dari Changkat cormin aku singgah sebentar di Bote yang juga dikenali sebagai Boston oleh sesetengah orang. Boston hanyalah sebuah pekan kecil yang majoritynya dihuni oleh orang Melayu. Lepas Bote aku melalui pekan Seri Iskandar sebuah bandar baru yang pesat membangun dimana terdapat sebuah Universiti Teknologi Petronas disini yang banyak membantu menaikan nama Seri Iskandar dan Perak amnya.
Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah ditubuhkan pada 10 Januari 1997 bermula dengan penubuhan Institute of Technology PETRONAS (ITP), sebuah institusi latihan khas untuk kakitangan PETRONAS di bawah pantauan PETRONAS Management & Training Sdn. Bhd. (PERMATA). Sebelum berpindah ke lokasi sekarang, ITP terletak di kawasan PERMATA di Bangi, Selangor. Kemudian,UTP berpindah ke Seri Iskandar, Perak.
Nama lain UTP ialah TUPet (Technology University of Petronas)
Pekan Batu Gajah hanya 20 minit perjalanan dari sini.
Sampai di Batu Gajah aku terus menuju kedai Man mee kari dimana kedai ini adalah persinggahan wajib bagi aku setiap kali balik kampong. Mee karinya adalah yang paling sedap pernah aku rasa berbanding dengan mana mana mee kari yang pernah aku cuba termasuk mee kari di hotel 5 star! Masih tiada tandingan hingga kini.
Selesai bersarapan mee kari aku singgah sebentar di kampong halaman aku iaitu Kpg Sri Rahmat nama baru sempena nama Menteri Penerangan ketika itu Dato Mohammad Rahmat (Arwah) yang datang melawat kampong aku sekitar tahun 1978. Nama asal kampong aku ialah Kampong Rizab. Aku sempat singgah sebentar di warung berjumpa kengkawan lama yang kebetulan sedang minum disitu dan singgah sebentar di Sekolah Rendah di kampong aku.
Seterusnya aku kembali semula ke Batu Gajah untuk mengunjungi sekelah menengah (SMR) kini diberi nama Sek. Men. TIWA semasa aku di tingkatan satu hingga tiga dan Sultan Yusuff Shcool (SYS) tingkatan 4 hingga 5.
Untuk perjalanan setetusnya adalah ke Bagan Dato melalui Tanjong Tualang, Sg Galah Kpg Gajah dan Teluk Intan. Lebih kurang 5 km sebelum sampai Tanjung Tualang terdapat sebuak Muzium kapal korek yang telah dibuka kepada orang ramai sejak 2012 tapi ketika aku sampai disini Muzium Kapal Korek sedang dalam kerja baik pulih. Selepas Tanjung Tualang perjalanan seterusnya menuju Kampong Gajah sebuah pekan kecil dalam Daerah Perak Tengah. Kampong Gajah banyak menyimpan sejarah sejarah kebanggaan orang Melayu.
Kampung Gajah merupakan tempat bersemayam beberapa orang Sultan Perak yang susur galurnya berasal daripada Sultan di Melaka. Banyak tanah-tanah perkuburan keturunan Raja-raja Perak terdapat di Kampung Gajah.
Di satu ketika dahulu Kampung Gajah melahirkan beberapa tokoh pejuang yang menentang penjajah British di Perak, antaranya Dato’ Maharaja Lela, Megat Tarawis dan Dato’ Sagor. JWW Birch dibunuh oleh Sepuntun di Pasir Salak, tidak jauh dari Kampung Gajah.
Kampong Gajah terletak lebih kurang 30 km dari pekan Teluk Intan.
Aku meneruskan perjalanan ke Teluk Intan dan singgah di sini untuk menikmati makan tengahari. Aku memilih sebuah gerai makan berhampiran Sungai Perak kerana ketika itu ramai pelanggan sedang menjamu selera disitu. (Ramai pelanggan bermakna makanan nya sedap). Tapi agak pelik walaupun berhampiran dengan muara tetapi tak banyak lauk pauk yang di masak dengan ikan ikan yang besar atau sedap seperti kerapu atau ikan merah. Udang, sotong dan ketam juga tidak kelihatan di gerai ini.
Nama Teluk Intan diambil sempena nama seorang janda yang mempunyai rupa paras yang cantik iaitu Mak Intan, beliau juga adalah seorang anak saudagar yang berjaya dari Sumatra dan membuka Teluk Intan di sekitar awal abad ke-19.
Nama Teluk Mak Intan telah ditukar kepada nama Teluk Anson oleh Jeneral Archibald Anson Gabenor British yang datang ke Teluk Mak Intan. Bagaimanapun pada 1 Januari 1982, bandar ini bertukar nama semula dari Teluk Anson kepada Teluk Intan. Di teluk Intan juga terdapat sebuah Menara condong seperti menara Pisa di Itali yang sudah berusia lebih dari 100 tahun dan kini menjadi Ikon kepada bandar Teluk Intan. Dibina pada tahun 1885 memiliki ketinggian 85 kaki bersamaan ketinggian bangunan tiga tingkat dan mempunyai sebanyak 110 anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh.
Menara ini sebenarnya merupakan takungan air sebelum adanya tangki air di Changkat Jong.
Selepas Teluk Intan aku meneruskan perjalanan jelajah Perak menghala ke Bagan Datok sebuah pekan "mati". Mengambil masa 25 minit untuk sampai ke Bagan Datok kawasan Parlimen Tim. Perdana Menteri ketika ini iaitu Yab Ds Zahid Hamidi.
Aku berehat sebentar disini sambil minum nes 0 kurang manis. Selepas menghilangkan dahaga aku meneruskan perjalanan terakhir hari ini untuk menuju ke Bidor. Jarak antara Bagan Datok dan Bidor lebih kurang 100 kilometer.
Lauan untuk sampai ke Bidor di penuhi dengan pemandangan ladang kelapa sawit dan kawasan perkampongan, tiada pekan di laluan ini. Sebelum sampai trafik light simpang tiga di Bidor aku singgah sekali lagi disebuah gerai dibawah sebatang pokok besar untuk berehat sambil minum nes 0 kurang manis bersama pisang goreng. Aku meneruskan semula perjalanan selepas mengisi petrol di pekan Bidor untuk destinasi terakhir jelajah Perak iaitu UPSI Tanjong Malim. Dalam perjalanan aku singgah di sebuah gerai buah berhampiran pekan Sungkai untuk membeli "cendawan" ang biasanya ada dijual disitu. Nasib aku baik pada hari ini kerana gerai tersebut turut menjual durian. Harga Rm 20 sekilo,l! (lepas kumpunan makan doyan). Di Sungkai sekali lagi aku terpaksa menyarung baju hujan kerana hujan rintik rintik sudah mula turun. Di hadapan menghala Slim River aku lihat awan hitam sudah kelihatan tanda hujan akan turun. Sepanjang jalan dari Sungkai hingga ke Tanjung Malim aku meredah hujan yang ada kala lebat dan ada kala perlahan.
Aku sampai dan menamatkan jelajah Perak sempena Tahun Melawat Perak 2017 di Tanjong Malim hadapan UPSI pada pukul 6.20 petang.
Jarak = 1240.6 Km
Petrol = Rm 69.05
Penginapan =Rm 150.00
TAMAT الْحَمْدُ لِلَّهِ
Fb #Honda Rs 150R Center (Semangat Impian)
Terima Kasih
# Isteri&anak2
# SHAD Malaysia
# Hj Ibrahim (SMR/SYS)
No comments:
Post a Comment