Saturday, April 29, 2017

Ride Solo Keliling Negeri Selangor.

Tempoh: 2 hari 1 malam.
Jarak: 733.9 Kilometer.
Tarikh: 26&27 April 2017.

Fakta Negeri Selangor.

*Menteri Besar: Yab Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali (PKR).

*Yb Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR)
EXCO Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor.

*Ibu Negeri: Shah Alam.
*Jumlah penduduk: 7 Juta Orang.
*Keluasan: 7,956 km/p.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Sebelum memulakan perjalanan "Le tour de Selangor" aku singgah besarapan bersama otai Masjid  Al Khairiah Au3 di gerai minum Dollah Cafe atau lebih di kenali sebagai mini Parlimen dikalangan kami. (Yab Ds Mb dan Yb Shaari Sungib pernah beberapa kali singgah bersarapan bersama disini). Selesai sarapan dan berborak aku memulakan perjalanan menuju Zoo Negara sebagai tempat permulaan dan penamat untuk  jelajah kali kedua selepas Jelajah 1Perak.

"Zoo Negara seluas 110 ekar terletak di Ulu Kelang Gombak diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Zoologikal Malaysia iaitu sebuah badan bukan kerajaan. Ia mula dirasmikan pada tahun 1963 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Al-Marhum Tunku Abdul Rahman.  Zoo Negara kini dihuni kira-kira 5000 haiwan terdiri daripada lebih dari 400 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan".

Selepas singgah di Zoo Negara aku menuju ke UIAM Gombak.

"Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang terletak di Gombak Selangor adalah sebuah universiti yang popular dikalangan Negara2  Islam. Sebahagian besar daripada kos permulaan UIAM ini ditaja oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan beberapa negara Islam lain.
UIAM telah ditubuhkan secara rasmi pada 10 Mei 1983. Presiden pertamanya ialah Allahyarham Tun Hussein Onn.
Kampus induk UIAM adalah seluas 700 ekar.

Dari UIAM aku bergerak menuju Kuala Kubu Baru KKB) untuk ke Empangan Sungai Selangor yang terletak di antara KKB dan Fraser Hill. Untuk sampai kesana aku melalui Bt Cave,  Empangan Batu, Ulu Yam dan Batang Kali. Dari Batang Kali aku menggunakan jalan dalam melalui jalan Rasa - Ampang Pecah sebelum sampai KKB. Di KKB aku singgah dan pusing2 di pekan KKB "seround" sebelum menuju ke Empangan Sg Selangor.

Perjalanan dari KKB ke Empangan ini hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit. Rasa tenang bila berada di kawasan ini, tidak banyak kenderaan lalu lalang dan cuaca nya pula terasa dingin dan nyaman kerana kawasan ini dikelilingi oleh hutan tebal dan takungan air yang banyak.

Empangan Sungai Selangor  telah mula beroperasi sejak dari tahun 2003 dan mampu menampung kapasiti air sebanyak 235 juta meter padu pada satu satu masa.
Empangan ini membekalkan air untuk dirawat di tiga loji pembersihan air (LPA) iaitu LPA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LPA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LPA Bukit Badong (SSP3). Empangan Sungai Selangor menyumbangkan 60 peratus bekalan air di sekitar Lembah Klang."


Setelah bergambar dan berehat aku meneruskan perjalanan menuju ke Hulu Bernam yang bersempadan dengan Tanjong Malim Perak. Di Hulu Bernam aku singgah mengisi minyak  dan berehat sebentar sambil makan sebiji roti (gardenia 85sen) yang sentiasa aku bawa dan simpan dalam "box Shad" setiap kali ride jauh.
Laluan yang akan aku lalui ini adalah jalan yang  paling sunyi dan akan melalui ladang ladang kelapa sawit dan dan beberapa perkampungan. Aku hanya mengetahui tentang jalan ini melalui cerita dari kengkawan sahaja. Tokey petrol pam tempat aku isi petrol juga ada memberi sedikit info tentang laluan yang sepanjang 80 km ini. Aku mula bergerak menuju Sabak Bernam lebih kurang pukul 11.45 pagi. Laluan sepanjang lebih kurang 80km ini boleh dibahagi kepada beberapa kategori seperti lurus, bengkang bengkok, rata dan kurang elok. ( Laluan gred C)😐😐.
Hampir 3/4 di kiri dan kanan laluan ini ditanam dengan pokok kelapa sawit menjadikan perjalanan dilaluan ini tidak begitu panas. Dipetengahan perjalanan aku bertemu dengan pekan kecil Felda Serigala yang hanya ada beberapa unit kedai papan yang sudah usang, balai polis, Masjid dan pejabat pos. Sepanjang perjalanan untuk sampai ke Sabak Bernam aku melalui beberapa buah kampong dan Felda seperti kampong Serigala dan kampong Gesir Tengah dan Felda Gedangsa dan Ladang Sime Darby.
Dilaluan ini ada persimpangan untuk sampai ke Felda Suharto. Tidak berapa jauh selepas penempatan Rancangan Tanah Belia Dua terdapat sebuah MRSM. Aku singgah untuk "lunch" di Kampong Sg Panjang lebih kurang 15 km dari Sabak Bernam. Nasib aku baik kerana di gerai makan ini ada menyediakan ikan semilang (ikan febret aku) masak lomak dan goreng biasa. Aku sambar tiga ekor😆😆. (Cost lunch cuma Rm 10 shj termasuk teh 0 kurang manis)
Pada keseluruhannya aku mengambil masa lebih 2 jam untuk sampai ke Sabak Bernam.
Laluan Hulu Bernam - Sabak Bernam ini tidak sesuai untuk penunggang bersendirian atau menunggang diwaktu malam kerana  permukaan jalan yang tidak rata, sunyi dan gelap.

Aku tidak singgal lama di Sabak Bernam, hanya mengambil beberapa keping gambar di Dataran Sabak Bernam dan meneruskan perjalanan untuk ke Air Tawar. Jalan menuju ke Air Tawar sejauh 28 km agak baik dan memuaskan jika dibanding dengan laluan H. Bernam dan S. Bernam( laluan gred B). Hujan renyai renyai mula turun disini tapi aku tetap meneruskan perjalanan kerana hujan bukan alasan untuk berehat bagi seorang pengembara bermotosikal! Sampai di simpang Empat Bagan Nakhoda Omar aku singgah di Masjid Ubudiah BNO. Hujan bertambah lebat dan kerana tidak mahu membuang masa aku terus memakai baju hujan untuk ke Air Tawar yang jaraknya hanya 8 km. Air Tawar terletak di hujung sebelah utara Selangor dekat sempadan Perak. Terdapat sebuah jeti pendaratan nelayan tepi pantai disini. Dari Air Tawar aku patah balik untuk meneruskan perjalan ke Sungai Lang. Di Sg Lang terdapat Pusat Latihan dan Dawah Negeri Selangor, Politeknik Sultan Idris Shah dan Sekolah Berasrama penuh Intigrasi. Ketika ini jam sudah menunjukan pukul 4 ptg dan hujan masih tidak berhenti. Aku berpatah balik untuk meneruskan perjalanan kearah selatan melalui Sg Besar dan singgah di sini untuk mengisi minyak. Dari Sg Besar aku melalui jalan lama untuk ke Sekinchan, laluan di sini ok tapi sempit dan sunyi melalui ladang kelapa sawit. Sampai di kampong Sg Nipah laluan nya semakin sempit dan kurang elok,kerana tidak yakin dengan laluan tersebut aku masuk semula kejalan besar yang jaraknya hampir 400 meter dari situ. Di laluan ke Sekinchan terdapat kawasan tanaman padi yang luas,kebiasan nya aku singgah disini untuk menikmati jagong rebus panas setiap kali melalui jalan ini tapi kerana hujan masih belum reda aku tidak berhenti kali ini. Aku singgah sebentar di pantai Sekinchan. Di situ juga terdapat jeti nelayan bot besar dan sebuah Resort yang sudah tidak beroperasi. Seram juga ketika melalui jalan masuk ke pantai ini kerana air dari jeti nelayan sudah melimpah hingga keatas jalan raya. Aku keluar dari situ dan meneruskan perjalan ke Kuala Selangor melalui Tanjong Karang. Kerana masih hujan aku meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor tanpa singgah disini. Sebaik sampai K. Selangor hujan sudah berhenti dan aku terus menuju ke Bukit Malawati sebuah bukit yang menjadi tumpuan pelancong di K. Selangor. Dari puncaknya kita dapat melihat keindahan panorama di sekitar Kuala Selangor dan kawasan berhampirannya. Di sini juga banyak monyet monyet yang berkeliaran mengharapkan makanan dari pengunjung tempatan dan pelancung dari luar. Ketika menurun bukit pula ada sekumpulan puluhan lotong besar yang jinak menanti huluran makanan dari pengunjung.

"Bukit Malawati adalah pusat pentadbiran dan juga kubu kuat Kesultanan Melayu Selangor di akhir abad ke 18 dan awal abad ke 19. Sultan Ibrahim (1782-1826) telah mendirikan sebuah kota di Bukit Malawati bagi mempertahankan Kuala Selangor dari serangan Belanda.Kota Malawati ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Bersejarah dibawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 8 September 1977.
Di Kompleks ini masih terdapat berbagai tinggalah Sejarah diantaranya ialah Makam DiRaja Selangor, Tembok Kota, Meriam lama,Tapak istana dan sebuah rumah Api.
Rumah Api ini dibina pada 1907 dan mula digunakan secara rasmi pada tahun 1910.
Bukit Malawati juga merupakan salah satu lokasi untuk melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal pada setiap tahun.

Aku turun dari bukit dan merayap seketika disekitar pekan Kuala Selengor sebelum singgah di sebuah restoran mamak pekena nescafe 0 panas kurang manis.


Dari K. Selangor aku bergerak ke Pantai Jeram dan Pantai Remis dan bercadang untuk bermalam di sini tapi nasib kurang baik kerana  tiada hotel atau resort bajet disini. Kerana hari sudah mula gelap aku singgah untuk makan malam di sebuah kedai tom yam ditepi jalan besar. Oder nasi puteh daging masak merah, teloq dadar kosong dan semangkok sup, airnya air suam sahaja. Selesai makan dan berehat aku terus menghala ke Kapar untuk mencari hotel. Di Kapar full house so aku terus hala ke Kelang dan nasib baik ada sebuah hotel bajet yang terletak berhampiran jalan besar Kelang - Meru yang sesuai utk aku bermalam disini.(yang penting dapat berehat dan tido dgn selesa). Aku melelapkan mata sekitar 1100 mlm.

7.00 pagi: Di hari kedua  selepas berkemas aku mula bersiap untuk perjalanan seterusnya. Laluan dihari kedua ini agak sukar sedikit kerana terpaksa menunggang bersaing bersama dengan kenderaan orang ramai yang mahu kepejabat untuk bekerja. Laluan dari Meru ke Tanjung Harapan Kelang agak teruk keadaanya kerana permukaan jalan yang tidak rata dan sudah lama tidak berturap. Tiba di Tanjung Harapan aku singgah sekejap untuk merakam beberapa keping gambar di tepi laut. Kemudian aku ke Medan Selera berhampiran untuk bersarapan pagi.
Selesai sarapan aku meneruskan perjalanan ke West Port satu tempat yang biasa aku dengar tapi tak pernah pergi kesana. Untuk sampai ke West Port aku bertembung dengan banyak lori lori besar yang keluar masuk dari West Port dan keadaan jalannya sangat teruk(laluan gred D). Di sini tiada apa apa yang menarik dapat aku lihat kecuali kenderaan kenderaan berat yang keluar masuk West Port. Setelah mengisi minyak aku meneruskan perjalanan menuju ke Banting yang jaraknya lebih kurang 45 km. Aku merayau rayau sekejap di Pekan Banting sebelum meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan ke Pantai Klanang aku ternampak satu signboard "Istana Bandar" dan secara spontan aku terasa ingin melihat bagaimanakah bentuk dan keadaannya Istana Bandat. Selepas bertanya kepada seoaran dua penduduk akhirnya aku sampai ke Istana Bandar, sebuah Istana lama yang tidak digunakan lagi tapi ada penjaganya kerana Istana Bandar telah dijadikan tempat kunjungan pelancung.

Istana Sultan Alaedin atau lebih dikenali sebagai Istana Bandar dibina pada tahun 1899 didirikan berdekatan dengan Masjid Bandar, kedudukannya kira-kira lima belas kilometer dari pekan Banting.

Selepas melihat Istana Bandar aku terus bergerak ke Pantai Kelanang yang hanya 15 minit perjalanan dari Istana Bandar. Di pantai Kelanang aku dapat melihat beberapa oran penduduk tempatan sedang menjalankan aktiviti mencari "mentarang" iaitu sejenis kerang. Mungkin kerana hari ini hari bekerja maka hanya ada beberapa orang pengunjung sahaja berada di sini (mat motor). Dalam perjalanan keluar dari Pantai Kelanang aku singgah sebentar di sebuah gerai untuk minum secawan Nes 0 kurang manis dan makan sebiji kueh keria (murah rm 1.60 shj). Digerai ini terdapat sebuah music box siap sekali dgn screen karaoke (canggih) membuatkan aku teringat kembali ketika zaman remaja dimana ketika itu music box ini ada di kebayakan kedai makan&minim di Pekan Batu Gajah. Selepas membuat bayaran aku meneruskan perjalanan ke Pantai Morib. Sama seperti keadaan dikebanyakan pantai lain semasa "weekday" disini juga tidak ramai pengunjung. Aku meneruskan perjalanan untuk persinggahan seterusnya iaitu Pantai Bagan Lalang di Sepang. Dalam perjalanan melalui pesisir pantai ini aku dapat melihat beberapa tempat pendaratan nelayan kecil seperti di Batu Laut dan Tanjung Sepat. Aku tiba di Pantai Bagan Lalang lebih kurang pukul 12.30 tengahari. Di pantai ini terdapat sebuah hotel 5 bintang dan beberapa buah hotel dan Resort mampu sewa (mudah mencari tempat untuk bermalam disini). Di sini aku singgah berehat untuk minum sahaja kerana aku memang kurang mengambil makanan setiap kali keluar ride jauh2. Yang penting banyak minum air mineral yang sentiasa ada didalam bakul kapcai aku dan bawa kemana sahaja aku ride.

Perjalanan seterusnya aku mensasarkan untuk sampai ke Bangi dan Kajang. Perjalanan dari Bagan Lalang ke Kajang melalui bandar Sepang, Salak dan kampong Jenderam. Pada kesluruhanya laluan di sini bolehlah dikatakan cantik dan lawo (laluan gred B-). Perjalanan untuk sampai ke pekan Bangi Lama mengambil masa hampir satu jam setengah kerana aku berhenti 2 3 kali sepanjang jalan ini termasuk mengisi minyak di Sepang dan makan buah "Dragon Fruit" juga di Sepang. Inilah pertama kali aku sampai ke pekan Bangi Lama itu pun kerana tidak sengaja. Aku cuma ikut "arrow" arah ke Bangi tapi apabila sampai ianya adalah sebuah pekan kecil bangunan kedai sederet dan di penghujungnya terdapat sebuah stesen Komuter dimana ianya adalah penghujung jalan (jalan mati). Aku berpatah balik untuk keluar menghala ke Bandar Bangi Baru dan Kajang. Di Bangi terdapat sebuah lagi Universiti yang popular di Selangor iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Selangor sebuah Negeri Maju sememangnya terkenal dengan keujudan beberapa buah IPTA yang besar dan popular antaranya UKM, UPM,UNISEL, UITM.


Tiba di kajang tiba tiba aku teringat sebuah Empangan yang pernah aku lalu kira kira 15 tahun dahulu lalu aku menghala ke Semenyih kerana ingin melalui semula jalan berhampiran Empangan tersebut. Selepas melalui pekan Semenyih aku singgah minum Nes 0 panas kurang manis di sebuah gerai kolam pancing ikan. Sebelum sampai Empangan terdapat sebuah kawasan rekreasi tempat mandi manda yg popular juga iaitu Hutan Lipur dan Hutan Pelajaran Sg Tekala. Aku sampai di Empangan Skim Sg Semenyih lebih kurang pukul 3.30 petang. Laluan di sini tidak berapa sunyi sangat kerana banyak juga kenderaan menggunakanya dan jalanya juga cantik. Dari Empangan ada dua jalan keluar iaitu ke batu 18 dan batu 14 Hulu Langat. Aku keluar melalui jalan pekan Bt 14 dan terus ke pusat riadah dan perkelahan terkenal di kawasan ini iaitu Sg Chongkak. Tempat ini sangat sesuai kepada mereka yang suka kepada berehat ditepi sungai dan didalam kawasan bersuasana hutan. Di Hulu Langat terdapat sebuah Pusat Latihan Belia Dusun Tua atau IKBN Dusun Tua, Hulu Langat.

Tujuan penubuhanya IKBN Dusun Tua  adalah untuk melatih golongan belia menganggur mendapat kemahiran teknikal dan boleh bekerja dengan sektor swasta atau berniaga sendiri. Pusat Pembina Negara ini ditubuhkan pada 1969 dan dirasmikan oleh Pengarah Majlis Gerakan Negara ketika itu, Tun Abdul Razak.

Aku meneruskan perjalanan dengan matlamat untuk sampai semula ke Zoo Negara sebagai tempat permulaan dan penamat Ride Solo Mengelilingi Negeri Selangor hari ini. Dalam perjalanan untuk menuju ke Zoo Negara terdapat satu kawasan di Bukit Ampang yang menjadi tumpuan bagi penduduk Lembah Kelang berkumpul untuk menikmati pemandangan indah Bandaraya Kuala Lumpur diwaktu malam. Ketika aku menyangka akan terus menamatkan ride solo ini di Zoo Negara tiba tiba terpandang signboard Bukit Belacan yang merupakan salah satu tempat perkelahan terkenal satu ketika dahulu. Aku menambah satu lagi senarai tempat berkunjung dalam perjalanan ini iaitu Bukit Belacan. Kawasan ini sudah tidak menarik lagi untuk dikunjung kerana terdapat aktiviti pembinaan berhampiran kawasan rekreasi ini. Mungkin ia hanya bersifat sementara untuk memberi laluan kepada projek pembangunan. Aku meneruskan perjalan terakhir menuju ke "garisan penamat" iaitu Zoo Negara. Aku sampai di hadapan Zoo Negara tepat pada pukul 5.05 minit petang

Syukur Alham dulillah perjalanan bermula dan berakhir dengan selamat.


Terima kasih kepada Yb Nik Nazmi Nik Ahmad Adun Seri Setia dan EXCO Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi Negeri Selangor yang sudi memberi sumbangan untuk Ride Solo Mengelilingi Negeri Selangor.

#Fb Honda Rs150R Center (Semangat Impian)
#Honda Rs 150R Premier Club (WhattsApp Group)

No comments:

Perjalanan

"Iron Butt Ride 1600 Kilometer" Asri Mohd AsriMalaysia

Ride solo "Ride Iron Butt 1600 Kilometer" *1609 Kilometer *20 jam 40 minit * Modenas RS200 Kuala Lumpur - Dang Bay Johor...