Tarihk: 17 - 21 May 2017
Jarak: 2508 km
12 Masjid Negeri + Masjid Negara
بسم الله الرحمن الرحيم
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yb Amirudin Shari
EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Darul Ehsan kerana sudi menyumbang untuk membantu menjayakan jelajah ini.
Perjalanan Jelajah Ziarah Masjid Negeri seluruh Semenanjung bermula 9.30 pagi pada 1 Mei, selepas bersarapan bersama "mem" yang telah menyediakan masakan nasi goreng pagi ini. Untuk ride solo seluruh Semenanjung kali yang kedua ini aku telah merancang beberapa bulan sebelumnya untuk menziarahi seluruh 12 buah Masjid Negeri dan Masjid Negara di Kuala Lumpur.
Perjalanan ini telah diatur kepada lima peringkat:
* Peringkat pertama: Kuala Lumpur - Ipoh - Pulau Pinang - Alor Setar - Arau
* Peringkat kedua: Perlis - Kota Bharu - Kuala Terengganu.
* Peringkat ketiga: Kuala Terengganu - Kuantan - Kuala Lumpur - Shah Alam.
* Peringkat keempat: Kuala Lumpur - Johor Baru - Melaka - Seremban.
* Peringkat Pertama: Ipoh - Georgetown - Alor Star - Arau.
Keluar dari rumah aku terus menuju hiway Duke yang tidak jauh dari rumah untuk memasuki hiway Plus menghala ke utara. Persinggahan pertama adalah Masjid Negeri Perak yang terletak di Ipoh. Keseluruhan perjalanan ke Ipoh menggunakan hiway Plus mengambil masa hampir 3 jam. Sampai di Ipoh aku terus singgah di kedai makan "nasi ganja" berhadapan bus stand lama Tjg Rambutan. Lokasi ini termasuk dlm senarai utk aku singgah lunch hari ini. Waktu sampai disini (12 tengahari) restoran ini telah dipenuhi pengunjung berbagai bangsa. Aku menyelit menumpang meja yang ada kerusi kosong dan makan semeja bersama pengunjung lain. Selesai makan nasi ganja aku terus menuju Masjid Negeri Perak atau lebih dikenali sebagai Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. Laluan dibandar Ipoh tidak menjadi masaalah kerana Ipoh adalah bandar utama ketika aku remaja. Dibandar ini aku membesar, mula bekerja dan memiliki motorsikal Suzuki Trs 118cc dan motosikal legend, Rxz.(berlumba haram juga disini hehehe)
Masjid Sultan Idris Shah II telah dirasmikan pada 15 September 1978 oleh Sultan ldris Iskandar Shah II (1963-1984), Sultan yang ke-54, sempena dengan perayaan ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-54. Ianya terletak berhampiran dengan stesen keretapi Ipoh dan bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di tengah- tengah bandaraya Ipoh. Masjid ini mula dibina pada 16 Mei 1966, dan batu asas telah diletakkan pada 27 Oktober 1967 oleh (Allahyarham) Tun Haji Abdul Razak, pada ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Masjid ini telah siap dibina pada 26 Ogos 1968.
Jumlah kos pembinaannya dianggarkan RM1,840,000.00 juta ketika itu.
Dari Masjid Negeri Perak aku terus bergerak menuju Pulau Pinang juga melalui hiway Plus. Singgah mengisi petrol dan berehat di R&R Bkt Gantang. Aku sampai di PP lebih kurang pada pukul 3.30 petang, masuk ke Pulau melalui jambatan pertama yang mengenakan bayar tol Rm2 sehala. Kawasan dan selok belok di bandar Goergetown aku tidak begitu mahir so terpaksa lah aku bertanya kepada orang ramai untuk menuju ke sesuatu lokasi. Lebih kurang 2 kilometer selepas keluar dari jambatan Pulau Pinang aku ternampak seorang pegawai polis trafik sedang bertugas memantau laluan perjalanan kenderaan, aku berhenti berhampiran abam polis trafik dan bertanya dimana dan arah mana mahu ke Masjid Negeri. Abam polis memberi tahu arah dan laluan yg perlu aku lalui untuk menuju ke masjid dengan tepat dan jelas. Sampai di Masjid Negeri Pulau Pinang pada pukul 3.45 ptg.
Masjid Negeri Pulau Pinang mula dibina pada tahun 1977, dilancar secara rasminya dengan perletakan Batu Asas oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Sardon Jubir. Masjid ini siap dibina sepenuhnya pada tahun 1980 dan dirasmikan pada 29 Ogos 1980 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang.
Masjid Negeri Pulau Pinang terletak di Jalan Air Hitam dalam Daerah Timur Laut Pulau Pinang. Arkitek pembinaan Masjid ini ialah E.B. Paz, yang berasal dari Filipina. Beliau seorang pakar dalam mereka bentuk masjid. Kos untuk pembinaan masjid ini ialah sebanyak RM5 juta.
Aku bergerak keluar dari Masjid Pulau Pinang selepas solat Asar, selepas bertanya kepada seorang jemaah, mana arah jalan menuju ke jeti untuk ke Tanah Besar menaiki feri..tambang percuma.
Dari Butterworth aku meneruskan perjalanan menghala ke Utara ke Ibu Negeri Kedah Alor Star melalui hiway Plus. Sepanjang laluan ini di kiri dan kanan di penuhi dengan sawah sawah padi.
Tiba di Alor Staq lebih kurang jam 7.10 malam tapi sampai diperkarangan Masjid Negeri lebih kurang 7.30 malam kerana merayau rayau mencari Masjid Negeri. Setelah bertanya kepada 2 3 orang barulah bertemu dengan Masjid Negeri atau lebih dikenali sebagai Masjid Zahir.
Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah. Bangunan bersejarah ini terletak di Jalan Kampong Perak Alor Setar.
Masjid Zahir merupakan antara mercu tanda yang terkenal di Alor Setar, dengan ciri kubah hitam, satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil, yang melambangkan lima rukun Islam.
Mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah. Reka bentuk masjid ini diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara.
Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 15 Oktober 1915 oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Memandangkan hari sudah beransur malam dan gelap aku singgah dahulu di sebuah gerai untuk makan malam di sini sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir hari ini iaitu Arau Perlis.
Sampai di Arau lebih kurang 9.45 mlm dan aku bernasib baik kerana Masjid Negeri Perlis terletak di jalan besar pekan Arau, so disini tiada masaalah untuk mencari Masjid Negeri. Setelah mengetahui lokasi Masjid Negeri aku terus mencari hotel yang sesuai utk bermalam disini.
Masjid Negeri Perlis terletak berhampiran jalan utama dan berhadapan Istana Arau di bandar di Raja Arau Perlis. Perletakan batu asasnya telah disempurnakan oleh Raja Perlis Tuank Syed Putra Ibni Al Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 18 Mac 1972 bersempena dengan hari keputeraan Baginda yang ke 54. Perasmian Masjid Negeri ini di sempurnakan pada hari jumaat bersamaan 6 Feb 1976 oleh Tuanku Syed Putra Ibni Al Marhum8 Syed Hassan Jamalullail.
Ringkasan perjalanan hari pertama.
Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Arau 551 km, mengambil masa lebih kurang 12 jam termasuk makan dan rehat, merentasi empat Negeri iaitu Selangor, Perak, Penang dan Kedah. Sepanjang perjalanan ini cuaca ok kekadang mendung kekadang panas, tiada hujan.
Pengalaman pertama solat subuh tanpa bacaan doa Qunut dan tanpa bacaan Bismillah ketika Imam memulakan membaca Surah. Imam dan jemaah berzikir dan berdoa secara bersendirian.
Peringkat kedua.
Arau - Kota Bharu - Kuala Terengganu.
Selepas menikmati sarapan pagi nasi lemak sambal sotong dan 3 biji kueh ditepi sawah padi aku meneruskan perjalanan ke Kota Bharu yang jaraknya lebih kurang 420 km. Sebahagian besar laluan ini melalui kampong2, bukit bukau dan hutan rimba, laluan yang kurang kenderaan menggunakannya.
Sampai di Kota Bharu lebih kurang pukul 3.00 ptg dan aku terus singgah di sebuah petrol pam Petronas untuk bertanya lokasi Masjid Negeri Kelantan. Macam tak percaya pulak bila pam attendan tu kata "kawe tak tahu dimana Masjid Negeri"!
Aku masuk kebahagian dalam dan bertanya kpd pekerja lain. Nasib baik ada tahu dan memberi arah laluan yang betul.
Masjid Muhammadi merupakan Masjid Negeri bagi Negeri Kelantan dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhammad IV. Masjid ini juga dikenali sebagai "Masjid Besar" di kalangan rakyat Kelantan.
Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1830 - 1886) Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.
Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah pada satu satu masa.
Masjid Muhammadi menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah".
Selepas menunaikan solat zohor dan berehat sebentar aku meneruskan semula perjalanan menuju ke Kuala Terengganu. Laluan ini menyusur pantai dan kampong2. Banyak gerai gerai menjual buah tembikai di sepanjang jalan dari Bachok hingga sempadan Kelantan Terengganu. Aku singgah makan nasi ayam di sebuah gerai di tepi jalan. Amat mengejutkan, sepinggan nasi ayam dan teh cuma Rm 3.90!
Aku sampai di Masjid Negeri Terengganu 7.00 malam lebih dan sempat solat mahgrib berjemaah disini. Aku bermalam di sini.
Masjid Abidin atau dahulunya dikenali sebagai Masjid Putih merupakan masjid DiRaja Negeri Terengganu lama yang dibina oleh Sultan Zainal Abidin II antara 1793 dan 1808. Masjid Abidin atau Masjid Besar, terletak di Jalan Masjid Abidin ditengah tengah bandar Kuala Terengganu.
Semasa pemerintahan Sultan Umar, masjid ini diganti dengan bangunan batu-bata. Masjid ini diubah suai lagi bagi memuatkan 2,500 jemaah dalam satu masa. Solat subuh disini meriah. Aku anggarkan antara 3 hingga 4 ratus jemaah yang hadir bersolat.
Sekali lagi aku rasa macam tak percaya ketika membayar harga sarapan nasi dagang ikan tongkol dan segelas teh tarik cuma Rm 5.50. Murahnya harga makanan di Ganu kiter.
Ringkasan perjalanan hari kedua.
Sebahagian besar dari perjalanan dihari kedua aku melalui jalan yang agak sunyi berbukit bukau dan hutan rimba tapi menyegarkan minda. Aku mengharungi hujan hampir satu jam dilaluan Gerik - Jeli. Laluan Kota Bharu ke Kuala Terengganu agak menarik kerana melalui persisir pantai bermula dari Pantai Tok Bali.
Peringkat ketiga.
Kuala Terengganu - Kuantan - Kuala Lumpur - Shah Alam
Selepas selesai sarapan aku terus bergerak keluar dari bandar Kuala Terengganu untuk ke Kuantan.
Dari K. Terengganu ke Kuantan juga melalui jalan jalan pantai yang menarik. Aku singgah berehat sekejap berhampiran loji Petronas ditepi laluan ini dimana terdapat kerusi tempat pemandi lori tangki berehat. Setelah berehat setengah jam aku meneruskan kembali perjalanan.
Ketika hampir sampai ke Kuantan aku telah ditahan dalam satu sekatan jalan yang dilakukan oleh sepasukan peronda JPJ. Alhamdulillah anggota terbabit seorang pegawai yang baik dan berhemah, beliau cuma memberi amaran supaya singgah dimana mana kedai motosikal untuk menukar nombor plat "fancy" pada motorsikal aku. Tq abam Jpj.
Aku meneruskan semula perjalanan untuk ke Masjid Negeri Pahang melalui pekan Balok, Cherating dan Teluk Cempedak. Aku sampai di Masjid Negeri lebih kurang 12.00 tengahari. Banyak masa untuk berehat disini sebelum masuk waktu solat jumaat.
Masjid Sultan Ahmad Shah yang dibina berhampiran Jalan Mahkota Kuantan adalah sebuah masjid yang besar dan mampu menampung 10,000 orang jemaah sekali gus. Menara masjidnya setinggi 180 kaki dan menjadikan ia antara masjid yang terkenal di Malaysia. Masjid Sultan Ahmad Shah terletak di tengah-tengah Bandar Kuantan, Pahang.Masjid Negeri Sultan Ahmad I ini dirasmikan oleh Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 21 Oktober 1994.
Nama masjid ini diambil sempena nama pemerintah Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah yang ditabal sebagai raja selepas mengalahkan Bendahara Wan Mutahir lewat 1890.
Sebaik selesai solat jumaat di Masjid Negeri Pahang aku menyambung semula perjalanan menuju ke Kuala Lumpur melalui hiway Pantai Timur (LPT). Seperti biasa apabila berada diatas hiway kelajuan yang biasa bagi aku adalah antara 120 - 130 kmj. Sekali sekala cecah 140 kmj hehehe.
Aku sampai di Masjid Wilayah Persekutuan sekitar 5.00 ptg. Sebuah Masjid yang baru dibina (2000)
besar dan cantik sesuai dengan kedudukannya yang berada di Ibu Negara kita.
Masjid Wilayah Persekutuan ini terletak berdekatan kompleks MATRADE Jalan Sultan Mizan Kuala Lumpur.
Masjid Wilayah Persekutuan ini dibina di antara tahun 1997 dan tahun 2001. Masjid ini terletak di tanah berukuran 33 ekar bersebelahan dengan Kompleks Pejabat Kerajaan di Jalan Duta. Masjid Wilayah Persekutuan telah dirasmikan pada 25hb Oktober 2000 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalulail. Masjid ini adalah masjid ke-44 dibina dalam bandaraya Kuala Lumpur. Masjid ini boleh memuatkan seramai 17,000 jemaah dalam satu masa.
Perjalanan terakhir untuk hari ketiga ini adalah Masjid Negeri Selangor yang tidak jauh dari Masjid Wilayah (35 km shj). Aku menggunakan laluan hiway NKVE untuk sampai ke Masjid Negeri Selangor yang terletak di Shah Alam. Perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit. Aku sampai di Masjid ini sebelum masuk waktu maghrib.
Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, telah dibuka secara rasmi pada 11 Mac 1988, bersamaan dengan 23 Rejab 1408 Hijrah yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor Darul Ehsan.
Tarikh pembinaan:1 Oktober 1983
Tarikh Siap:15 Ogos 1987
Tarikh digunakan:3 Disember 1987
Tarikh dirasmikan:11 Mac 1988
FAKTA
1. Masjid terbesar di Asia Tenggara.
2. Kubah masjid yang terbesar di dunia.
3. Menara Masjid tertinggi di dunia.
4. Mampu memuatkan 24,000 jemaah dalam satu masa.
Selesai menziarahi Masjid Negeri di Shah Alam aku mengambil keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur untuk bermalam dirumah sendiri (jimat kos Hehehehe)
Ringkasan perjalanan hari ketiga.
Dari Kuala Terengganu ke Kuantan sebahagian besar laluannya landai lurus dan cantik melalui persisir pantai sepanjang perjalanan hingga ke Cherating di Pahang. Dari Kuantan ke Kuala Lumpur melalui Hiway Pantai Timur dalam keadaan cuaca yang baik..Syukur Alhamdulillah
Peringkat keempat.
Kuala Lumpur - Johor Bharu - Melaka Seremban.
Aku keluar dari rumah 7.30 pagi sebaik sahaja hujan renyai2 berhenti dan terus menghala ke Hiway Plus untuk bergerak keselatan Tanahair iaitu Johor Dt. Singgah bersarapan di hentian sebelah Serdang. Laluan ke Johor Bharu sepanjang 330 km ini adalah laluan yang lurus dan landai. Beberapa kali aku meredah hujan sebelum sampai ke Johor Bharu. Sampai di Johor Bharu aku berpusing pusing beberapa kali untuk mencari Masjid Negeri Johor. Setelah gagal menemui Masjid Negeri aku bertanya kepada beberapa orang termasuk pemandu teksi dan anggota polis dimana lokasi Masjid negeri. Sebenarnya lokasi Masjid Negeri sangat mudah ditemui kerana ia terletak berhadapan dengan pantai Lido. Tapi malangnya setiap kali aku bertanya mereka hanya menunjuk arah jalan ke Masjid Negeri tanpa memberitahu bangunan itu berhadapan dengan Pantai Lido!
Aku tiba di perkarangan Masjid Negeri Johor beberapa minit sebelum jam 2.00 ptg. Ketika ini Masjid ini sedang dalam kerja kerja ubahsuai tapi ada satu bangunan solat yang agak besar disediakan berhampiran Masjid ini untuk kemudahan orang ramai mengerjakan ibadat solat 5 waktu sehari.
Masjid Negeri Sultan Abu Bakar ialah masjid Negeri Johor yang terletak di Johor Bahru, Johor. Masjid ini telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pada tahun 1900. Masjid ini diberi nama Masjid Abu Bakar kerana mengambil sempena nama Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim yang telah menitahkan pembinaannya kira-kira dalam tahun 1892 dengan kos lebih dari $400,000.
Masjid yang dibangunkan di atas sebuah bukit kecil di tepi Selat Tebrau beradapan Pantai Lido yag popular di negeri ini.
Menara 2 tingkatnya bulat di atas dan empat persegi di bawah serta berkubah. Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 3,000 jemaah sekaligus.
Seni bentuk bangunan masjid ini telah direka oleh Tuan Haji Mohamed Arif bin Punak di bawah penguasaan jurutera Yang Berbahagia Dato' Yahya bin Awalluddin.
Bangunannya empat persegi dan banyak dipengaruhi oleh ciri-ciri bina Islam. Masjid ini berbentuk bujur sangkar dengan 4 buah anjung yang masing-masing mempunyai menara kubah.
Selepas berehat sekejap di sini aku bergerak ke pusat bandar Jb untuk mencari makanan kerana perut sudah mula memberi tanda tanda yang ia sudah kosong dan memerlukan isian semula. Aku singgah disebuah restoran berhampiran jalan besar menghala ke hiway Plus untuk mengalas perut. Terkedu!! Sepinggan nasi + separuh potong ikan tenggiri (last kopek) masak kari + bendi 2 btg dan air mineral kecil = Rm 9.00!
Aku meneruskan perjalanan ke Melaka. Dari Jb ke Melaka aku berhenti 2 kali untuk mengisi minyak. Sekali di Machap dan sekali lagi di Pagoh.
Aku sampai di Masjid Negeri Melaka lebih kurang pukul 6.15 petang.
Masjid Al-Azim merupakan sebuah masjid yang terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Melaka. Masjid ini mampu menampung jemaah seramai 10,400 orang. Tingkat atas dikhaskan untuk wanita seramai 700 orang manakala tingkat bawah boleh menampung seramai 9,700 orang jemaah lelaki.
Masjid Al-Azim mula dibina pada 14 Mac 1984 dan siap sepenuhnya pada 12 Januari 1990. Projek pembinaannya menelan belanja sebanyak RM19.5 juta itu telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Azlan Shah pada 13 Julai 1990 bersamaan 20 Zulhijjah 1410 H.
Aku menyambung perjalanan hari ini untuk bermalam di Seremban. Dari melaka hanya mengambil masa 45 minit untuk sampai Seremban. Aku sampai Seremban sebelum pukul 8 malam dan terus mencari lokasi Masjid Negeri Sembilan. Kerana tidak mahu membuang masa aku terus merapati sebuah motosikal yang berhenti di satu trafik light dan terus menegur beliau " bang ( lelaki tersebut menoleh kearah aku, rupa rupanya seorang lelaki India) tapi sebab dah tegur aku teruskan bertanya..boss u tau masjid besar Seremban dimana? Lelaki India menjawab..tau, dekat sana A&W. Aku tanya lagi..A&W dekat mana?..mungkin dia sudah tau aku orang luar dia terus jawab..ok bang u ikut saya nanti saya tunjuk. Aku follow dia hingga ke satu simpang berhampiran A&W Seremban dan beliau menunjuk kepada aku Masjid Besar Negeri Sembilan. Teringat pesan orang tua tua, malu bertanya sesat jalan.
Selepas mengetahui lokasi Masjid aku terus mencari hotel bajet untu bermalam disini. Aku hanya lepak dan berehat dalam bilik sambil melayan Fb dan whatsApp.
Mungkin kerana N9 sebuah negeri yang kecil dan jumlah penduduknya juga tidak ramai,maka kehadiran jemaah solat subuh di sini tidak ramai. (Tak penuh satu saf)
Masjid Negeri, Negeri Sembilan yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan telah dibina pada tahun 1966 di atas tapak yang telah dikurniakan oleh kerajaan negeri. Masjid Negeri Sembilan telah dibina semasa dibawah pempinan YAB Tan Sri Dr. Mohd Said bin Muhammad, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu. Masjid Negeri dibina di kawasan seluas lebih kurang 2 hektar bagi menggantikan Masjid Jamek Bandar Seremban yang tidak dapat menampung para jemaah yang semakin bertambah.
Ia telah dirasmikan oleh Paduka Seri Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan pada hari Jumaat, 24 November 1967.
Ringkasan perjalanan hari keempat.
KErana kurang arif laluan ke Jb aku terpaksa berhenti 4 kali untuk mengisi petrol dan yang kelakarnya dua kali keluar dari hiway. Sekali di Tangkak dan sekali lagi di Air Hitam.
Makanan di Jb lebih mahal jika dibandingkan dengan Kl dan Penang.
Peringkat kelima.
Seremban Kuala Lumpur.
Masjid Negeri, Negeri Sembilan adalah Masjid Negeri yang terakhir aku lawati namun Masjid yang terakhir dalam Jelajah Ziarah Masjid ini adalah Masjid Negara di Kuala Lumpur. Oleh kerana jarak Seremban Kl tidak jauh aku mengambil peluang untuk berehat dan santai di pekan Seremban. Bersarapan dijalan Kuala Klawang, hantar cuci motorsikal dan ronda ronda di bandar Seremban.
Aku bertolak ke Kuala Lumpur lebih kurang pukul 11.00 pagi dan menunggang secara santai sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur yang mengambil masa hampir 1 jam untuk sampai ke Masjid Negara. Tiba di Masjid Negara pada pukul 12 tengahari dan pada ketika itu sudah ramai pelancong luar negara berada di perkarangan dan sekitar Masjid untuk melawat Masjid Negara..
Masjid Negara terletak di Kuala Lumpur. Masjid ini dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965 oleh Yang diPertuan Agong yang ketiga iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Raja Perlis.. Masjid ini merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan merupakan simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk ketika itu. Masjid ini mampu menampung seramai 15,000 orang jemaah.
Terletak di kawasan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Masjid Negara terletak berhampiran Stesen Keretapi Malaysia, Bangunan Daya Bumi, Pos Besar Malaysia, Muzium Kesenian Islam, Taman Burung Kuala Lumpur dan Taman Tasik Perdana. Kawasan Masjid Negara seluas 13 ekar dan bangunan utamanya memenuhi lebih kurang 3 ekar. Terdapat tujuh buah pintu keluar/masuk kesemuanya di Masjid ini.
Syukur Alhamdulillah keseluruhan perjalanan Ride Solo Ziarah Masjid Negeri Seluruh Semenanjung berjalan lancar tanpa sebarang masaalah.
Terima Kasih
# Shad Malaysia
# Fb Honda Rs 150R (Semangat Impian)
# Kelab Premier Honda Rs 150R (whatsapp group)
No comments:
Post a Comment